Friday, January 22, 2010

REMAJA HARI INI, APA NAK JADI?

Remaja sekarang suka membuang masa berpeleseran dan membuang masa tanpa ada tujuan yang kkhusus. Hari ini aku mengunjunagi pusat beli belah di KT. Alangkah sedihnya bila melihat gelagat remaja dewasa ini yang sudah terhakis sifat malu dan rendahnya budi bahasa. Di mana salahnya?. Adakah ibu bapa tidak mendidik anak-anak atau anak-anak tidak mendengar kata ibu bapa?. Yang lelakinya berpakaian ketat dengan rambut yang "berjambul" dan diwarnakan, yang gadisnya bertutup kepala dan badan tetapi macam "barut nangka", singkat, nipis dan ketat.
Apa akan jadi 10 atau 20 tahun nanti? Remaja macam ni kah akan mewarisi kepimpinan masyarakat?. Sanggupkah kita mewaris kepimpinan negara kita kepada remaja-remaja seperti ini? Satu lagi yang menarik perhatian saya, pergaulan bebas dalam kalangan remaja. Mereka tidak segan silu berpimpin tangan sedangkan tiada apa-apa ikatan yang menghalalkan mereka berbuat demikian.Itu yang dipamerkan di kalayak ramai kalau di belakang .......?

Sunday, January 17, 2010

KEPENTINGAN ICT DALAM MENINGKATKAN PENGUASAAN P & P PELAJAR DALAM BILIK DARJAH

Ringkasan Eksekutif
Esei ini membincangkan kepentingan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam dunia pendidikan pada alaf ini. Sebagai guru yang berdepan dengan ledakan maklumat dalam dunia tanpa sempadan ini saya perlu melangkah sederap dengan kemajuan dan kecanggihan ilmu serta teknologi sebagai langkah awal demi menggalas amanah dan tanggungjawab terhadap bangsa dalam membina negara bangsa yang mampu berdiri gah di persada dunia.
Penguasaan ICT dapat membantu guru menghadapi ranjau dan cabaran dalam dunia pendidikan dan bertindak tepat dengan kehendak semasa .Fungsi guru sebagai egen perubahan sosial dapat memenuhi permintaan masyarakat setempat melalui ilmu dan kemahiran yang dimiliki seterusnya menjadi rujukan dan idola dalam masyarakat.
Kemahiran guru dalam bidang ICT dapat membantu pelajar-pelajar untuk menguasai kemahiran dan ilmu yang bersesuaian dengan minat, bakat serta potensi pelajar sekaligus dapat menanam rasa cinta akan ilmu pengetahuan. Hal ini secara tidak langsung dapat melahirkan modal insan cemerlang berminda kelas pertama sebagaimana yang digarapkan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). Tanggungjawab ini sememangnya terpikul atas bahu para guru yang komited dengan tugas serta bersedia dan sanggup menerima perubahan mengikut peredaran masa. Semua ini menuntut pengorbanan yang besar dari kalangan guru-guru untuk terus menambah ilmu dan kemahiran, bertepatan dan bersesuaian dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat.

Penguasaan saya terhadap kemahiran ICT dapat meningkatkan penguasaan murid terhadap mata pelajaran yang saya ajar. Ini terbukti daripada perubahan sikap dan minat pelajar serta prestasi dalam peperiksaan. Kemahiran ICT yang saya miliki dapat meningkatkan penguasaan murid dalam mata pelajaran yang saya ajar dapat dikesan melalui:
1.1 Mengubah Stail Pembelajaran Murid-Murid: Berlaku Pembelajaran Kendiri Dan Menggalakkan Pembelajaran Eksploratori (Penerokaan)
1.2 Memudah Dan Mempercepatkan Proses Pengajaran Dan Pembelajaran
1.3 Membentuk Jaringan Komunikasi Yang Efektif, Cepat Dan Mudah
1.4 Pengekalan informasi yang berkesan
1.5 Menghasilkan Kerja Yang Berkualiti, Lengkap Dan Mantap

2.0 Pendahuluan

Dasar Pembangunan Negara dalam Rancangan Malaysia Kelapan (2001 – 2005) menegaskan kepentingan membangunkan dan memperluaskan penggunaan teknologi maklumat dalam pembangunan pendidikan. Langkah ini bertujuan merancakkan pertumbuhan, melatih profesional, meningkatkan produktiviti, memodenkan pengurusan teknologi maklumat dan pengetahuan, mengurangi jurang digital, dan mempastikan semua rakyat mendapat manfaat daripada ICT.
Sektor pendidikan menjadi agen perubahan bagi mempertingkatkan kemahiran penggunaan ICT dalam kalangan generasi muda. Keperluan terhadap penggunaan ICT dalam pendidikan amat dirasai kerana ICT telah menjadikan dunia pendidikan sebagai hak milik pelbagai lapisan masyarakat di mana pelbagai maklumat dan sumber pendidikan dapat dicapai walau di mana jua berada. Pengaruh dan kemajuan era ICT mencetuskan inovasi dalam pengurusan pendidikan, penilaian, serta pengajaran dan pembelajaran.
Kewujudan masyarakat berpendidikan yang terbentuk melalui pembudayaan komputer, internet, dan multimedia menzahirkan kewujudan masyarakat yang cinta akan ilmu pengetahuan. Bangsa yang maju adalah bagsa yang mementingkan perkembangan intelektual yang dirintis oleh kemajuan dunia pendidikan. Dalam konteks ini teknologi maklumat berperanan untuk meluaskan penyebaran pemikiran manusia sebagai agen revolusi sosial

3.0 ISI
3.1 Definisi Frasa Penting:
3.1.1 Pelaksanaan ICT dalam Pendidikan
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat mentakrifkan pelaksanaan sebagai perihal, perbuatan atau proses melaksanakan sesuatu rancangan, manakala ICT pula adalah singkatan daripada Information and Communication Tecnology atau Melayunya Teknologi Maklmat dan Komunikasi. Teknologi membawa pengertian alat yang digunakan oleh manusia dan alat yang ada pada manusia iaitu ilmu pengetahuan, kemahiran, dan kepakaran dalam ilmu tertentu untuk menyelesaikan masalah hidup. Maklumat merujuk kepada makluman, pemberitahuan, keterangan, butir-butir, dan pengetahuan. Komunikasi bererti perhubungan secara langsung atau dengan perantara surat, radio, telefon dan lain-lain komunikasi atau penghubung dengan atau yang sampai kepada orang ramai amnya. Pendidikan membawa erti perihal mendidik, didikan, latihan, atau ajaran. Jadi maksud pelaksanaan ICT dalam pendidikan membawa maksud menggunakan ICT secara saintifik, terancang, dan bersesuaian demi meningkatkan kecekapan proses dan keberkesanan pembelajaran dan pengajaran.
3.1.2 Guru Yang Berkemahiran
Guru adalah orang yang mengajar, mendidik, pengajar, pengasuh, Berkemahiran bererti mempunyai kemahiran , mahir. kemahiran ditafsirkan sebagai terlatih untuk , cekap, lancar, pandai. Maksud guru yang berkemahiran adalah tenaga pengajar, pengasuh, atau pendidik yang mempunyai kemahiran, pandai dan terlatih dalam melaksanakan tugasnya untuk mengajar, mengasuh, dan mendidik.
3.1.3 Meningkatkan Penguasaan Murid
Meningkat bermaksud menginjak untuk naik ke atas, mencapai tingkat, bertambah banyak. Penguasaan pula membawa maksud menguasai atau penguasaan. Murid ialah pelajar, orang yang menerima ilmu pengetahuan maksud meningkatkan penguasaan murid ialah keupayaan menginjak ke atas atau bertambah baik atau meningkat apa yang dipelajari oleh orang yang menerima ilmu pengetahuan.

3.2 ICT Dalam Pendidikan
Sehubungan dengan usaha Merapatkan Jurang Digital dan Memperkasakan Sekolah Kebangsaan yang terkandung dalam PIPP, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melaksanakan pelbagai projek, antaranya: Projek Rintis Sekolah Bestari ; Projek Schoolnet dan MySchoolNet ; Makmal Pengkomputeran; TV Pendidikan (TVP); P & P Matematik Dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ; Mata Pelajaran ICT diperkenalkan ; Latihan ICT untuk Guru; Projek Pengkomputeran Pengurusan. Kementerian Pelajaran (KPM) menyediakan infrastruktur, perkakasan dan perisian yang lengkap dan mencukupi serta latihan dan bimbingan kepada guru-guru untuk membolehkan ICT digunakan dalam P & P. . KPM telah melengkapkan lagi kemudahan saluran komunikasi di sekolah dengan akses jalur lebar melalui kerjasama dengan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi serta merangkaikan infrastruktur dan perkakasan ICT melalui rangkaian setempat atau teknologi tanpa wayar.

ICT dalam pendidikan merujuk kepada penggunaan perkakasan dan perisian komputer yang diintegrasikan dengan multimedia dan internet yang diaplikasi dan digunakan secara langsung dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam institusi pendidikan khususnya di sekolah. Multimedia merupakan pelbagai media yang digunakan untuk menyalurkan maklumat kepada orang ramai yang merangkumi teks, grafik, audio, video, dan animasi.

3.3 Kemudahan ICT yang ada di sekolah saya
Sekolah saya iaitu SMK Padang Midin (SMKPM), Kuala Terengganu merupakan sekolah Melayu pertama di Terengganu. Lokasinya 11 kilometer dari pusat bandar. Sekolah ini dikategorikan sebagai sekolah luar bandar. SMKPM mempunyai seramai 130 orang guru, 48 orang kakitangan sokongan dan swasta, serta 1 752 orang murid yang belajar dalam tingkatan satu hingga enam atas. Sesi persekolahan berlangsung dalam dua sidang; sidang pagi dan petang. SMKPM banyak menerima kemudahan dan menjadi projek rintis Intel-KPM. Antara kemudahan ICT yang terdapat di SMKPM ialah:
• Prasarana : Sebuah makmal komputer dua tingkat; sebuah bilik Akses, sebuah bilik Intel – KPM, 5 buah makmal sains yang dilengkapkan dengan set komputer, skrin layar, dan projektor LCD; sebuah bilik komputer Premier ; sebuah bilik PPSMI ; sebuah bilik tayangan; dan sebuah bilik ICT di asrama
• Perkakasan :40 set komputer dalam makmal komputer. 20 set komputer dalam bilik ABM Premier , sebuah komputer dalam bilik-bilik khas - iaitu bilik peperiksaan dan penilaian,(4 buah) bilik guru( 3 buah), makmal Sains ( 5 buah) bilik Guru Kanan Mata Pelajaran, bengkel Kemahiran Hidup, bilik Seni Visual, perpustakaan, pejabat dan bilik-bilik Guru Penolong Kanan; 40 komputer notebook Intel ; komputer riba dan LCD untuk guru-guru PPSMI : sebuah papan interaktif (smart board); Jaringan internet tanpa wayar, jalur lebar dan pakej streamyx bisness
• Perisian : CD yang dibekalkan oleh KPM , Bahagian Teknologi Pendidikan, dan CD koleksi peribadi guru-guru.
• Sumber manusia : sekolah mempunyai seorang guru Media, seorang guru Bestari dan seorang juruteknik komputer
3.4 Bagaimana ICT digunakan dalam P & P
Penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran dilihat dalam konteks aspek pengajaran guru (guru menggunakan ICT) dan aspek pembelajaran (murid menggunakan ICT). Dalam konteks pembelajaran, penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran boleh dikategorikan sebagai tutorial, penerokaan, aplikasi dan komunikasi. Dalam konteks pengajaran pula ICT digunakan sebagai tutor dan alat demonstrasi.
Guru berperanan sebagai penyampai maklumat dan memastikan bahawa pelajar telah mempunyai pengetahuan sedia ada. Oleh itu segala perancangan dibuat mengikut turutan aktiviti supaya objektif pembelajaran tercapai. Guru boleh menggunakan ICT untuk pengurusan proses pembelajaran, Pengurusan Rekod Pelajar, dan Penjanaan Tabung Soalan. Guru dapat menyediakan persembahan pengajaran yang menarik dengan menggunakan aplikasi multimedia seperti Authoware, Freehand, Page Maker dan sebagainya kerana ia mengandungi grafik yang menarik yang boleh diaudiokan, divideo, dan dianimasikan secara bijaksana.
Pelaksanaan pendekatan baru dalam P & P mengubah peranan daripada "tuan" kepada "pembantu", daripada "pengarah" kepada "penyelia", daripada "diktator" kepada "fasilitator". Murid menentukan dan merancang pembelajaran sementara guru pula bertindak memastikan murid berjaya melaksanakan rancangan pembelajaran mereka dan mencapai kriteria yang telah ditetapkan.
3.5 Kemahiran ICT yang saya miliki dapat meningkatkan penguasaan murid dalam mata pelajaran yang saya ajar
Kemahiran ICT yang saya perolehi melalui kursus yang dianjurkan oleh KPM, yang dikendalikan oleh unit ICT JPN dan PPD serta Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) dengan kerjasama Pusat Kegiatan Guru (PKG), membolehkan saya melaksanakan tanggungjawab mendidik murid-murid saya dengan lebih berkesan. Di sekolah saya diberi tanggungjawab mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dan Tasawwur Islam.
Untuk memperolehi manfaat mengguna ICT dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Tasawwur Islam, saya membuat perancangan dan penyediaan bahan bantu mengajar menggunakan komputer. Aplikasi yang saya gunakan adalah program Microsoft Word, Microsoft Power Point, Microsoft Excel, dan Photo Story 3. Perkakasan berupa cakera padat (CD), projektor LCD, kamera digital di samping kemudahan internet,dan penggunaan papan interaktif (smart board).
Kemahiran menggunakan perisian biasa yang sedia ada dalam komputer seperti Microsoft Powerpoint , Words dan Excell serta bantuan kamera digital menjadikan kerja-kerja saya lebih mudah. Internet banyak membantu saya dalam menyediakan bahan bantuan mengajar serta komunikasi dengan pelajar secara terus dapat dilaksanakan menerusi e-mel dan laman blog. Hasil daripada proses pengajaran dan pembelajaran menggunakan ICT dan multimedia bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Tasawwur Islam saya dapati telah berlaku peningkatkan penguasaan murid dalam mata pelajaran yang saya ajar. Hal ini dapat di lihat melalui perubahan sikap, tingkah laku, minat dan prestasi murid sebelum, semasa dan selepas sesi pembelajaran berjalan.
Peningkatan penguasaan dalam mata pelajaran murid –murid itu dapat saya rumuskan seperti berikut :
3.5.1 Mengubah Stail Pembelajaran Murid-Murid: Berlaku Pembelajaran Kendiri Dan Menggalakkan Pembelajaran Eksploratori (Penerokaan)

Penggunaan ICT untuk pembelajaran menggalakkan pembelajaran kendiri dan penerokaan. Ianya berlaku apabila ICT digunakan sebagai medium untuk mencari dan mengakses maklumat daripada CD-ROM, internet, portal maklumat dan sumber-sumber maklumat yang lain. ICT juga dapat memberikan pengalaman, mempelajari dan mengkaji sesuatu fenomina secara simulasi serta melihat demonstrasi sesuatu kejadian. Melalui cara ini murid-murid boleh mengawal dan menentukan maklumat yang diterima melalui ICT. Murid-murid mempunyai kebebasan dalam menggunakan kemudahan ICT berdasarkan kehendak mereka.
Berdasarkan tajuk-tajuk yang dipelajari dalam bilik darjah, saya memberikan beberapa alamat yang berkaitan yang boleh dilayari oleh murid melalui intenet. Dengan cara ini membolehkan murid-murid mencari dan mengakses sendiri maklumat daripada ensaiklopedia multimedia atau bahan-bahan daripada internet. Murid-murid akan mengumpul bahan-bahan ini, dan maklumat ini akan digunakan untuk menjana dan menguji hipotesis dalam penyelesaian masalah.
Bagi mata pelajaran Bahasa Melayu peringkat menengah rendah, saya membimbing dan menggalakkan murid-murid melayari laman web yang tersedia, antaranya Portal Pendidikan Utusan, dan Trengganu. Com. Memuatkan antaranya koleksi soalan dan nota panduan . Murid-murid yang melayari laman web ini dapat menjawab terus soalan-soalan yang tersedia, mereka diminta untuk menjawab soalan yang dikemukakan oleh komputer dan komputer akan menilai serta memberi maklum balas yang sesuai berdasarkan kepada jawapan yang diberikan. Mereka akan memperoleh maklum balas terhadap jawapan secara serta merta. Hal ini menimbulkan keseronokan sekaligus boleh memotivasikan murid dengan peneguhan positif yang diberi apabila murid memberikan jawapan. Aktiviti ini boleh dilakukan sendiri oleh murid saya sama ada di rumah atau di Pusat Akses sekolah.
Dalam mata pelajaran Tasawwur Islam terdapat pengetahuan yang tidak dapat dijangkau oleh panca indera manusia apatah lagi kalau ianya perkara yang berlaku di luar ruang lingkup dan pengalaman murid-murid. Jusetru, saya membimbing murid-murid mengakses internet untuk mendapatkan pengetahuan dan gambaran yang lebih jelas. Contohnya, Bab 4 Tasawwur Islam Tingkatan 4 tentang Konsep Alam. Saya bimbing murid-murid saya melayari laman web berkaitan pengetahuan geografi, contohnya murid-murid saya dapat melihat kejadian letupan gunung berapi secara jelas seolah-olah ianya berlaku depan mata. Saya kaitkan gambaran itu dengan kebesaran dan kekuasaan Allah yang mencipta alam ini. Murid-murid saya dapat memahami dan mudah mengingatinya, malah dapat menghuraikan kejadian tersebut secara terperinci. Murid-muid saya juga merujuk kepada World Facts Book di laman web Central Intelligence Agency (CIA) dan ensaiklopedia untuk mendapatkan lebih banyak maklumat. Murid-murid saya juga buat capaian di rumah untuk ulangkaji dan ulang tayang.
Pembelajaran kendiri ini membolehkan murid saya mempunyai latihan yang secukupnya sebagai persediaan menghadapai peperiksaan. Manakala pembelajaran penerokaan menjadikan murid yang lebih pintar lebih berminat dengan isi kandungan yang lebih tinggi dan mencabar. Mereka mencari sendiri hasil-hasil penyelidikan supaya mereka boleh maju ke hadapan tanpa mengikuti dengan jemu rakan mereka yang kurang pintar. Hal ini memberikan keseronokan kepada murid-murid saya.
Kesimpulannya, ICT memudahkan pelajar meneroka ilmu-ilmu baru yang menjadikan proses P & P menjadi lebih menarik dan berkesan. Murid-murid saya dapat berfiki secara kritis, penyelesaian masalah, pengelaaman belajar yang autentik, pengetahuan yang dibina adalah melalui interaksi sosial. Murid-murid saya telah bertukar sikapnya daripada seorang yang pasif menjadi aktif semasa dan selepas proses pembelajaran dan pembelajaran berjalan.
3.5.2 Memudah Dan Mempercepatkan Proses Pengajaran Dan Pembelajaran

Penggunaan teks sama ada dalam bentuk perkataan atau nombor menimbulkan masalah bagaimana untuk menerangkan bahagian-bahagian yang sukar untuk diterangkan atau difahami melalui penggunaan teks. Maka penggunaan multimedia dapat memudahkan pelajar memahami konsep yang abstrak dengan bantuan adunan elemen-elemen teks, audio,video, animasi, dan grafik. Ini menjadikan membolehkan sesuatu proses penerangan dilakukan dengan lebih mudah dan pantas. Contohnya dalam menghuraikan kesan pencemaran alam kepada hidupan dan manusia. Saya menayangkan rakaman video tentang punca-punca pencemaran dan gambar-gambar yang dirakam menggunakan kamera digital akibat daripada tindakan manusia yang tidak bertanggungjawab. Saya menggunakan aplikasi Photo Story untuk menyediakan bahan bantu belajar. Pada akhir sesi pembelajaran saya dapati murid-murid saya dapat menguasai isi pelajaran dengan lebih cepat. Ini terbukti apabila murid-murid saya menulis karangan tentang kesan-kesan pencemaran alam terhadap manusia dan hidupan air.
Bahan-bahan multimedia interaktif dibangunkan dengan dengan menggunakan bahan visual grafik, teks, muzik, video serta animasi yang membantu mengukuhkan lagi kefahaman pelajar terhadap sesuatu konsep. Penggunaan muzik dan video sebagai alat bantu membolehkan murid-murid saya lebih memberikan perhatian terhadap apa yang saya ajar. Murid-murid dapat menghayati isi pelajaran dengan lebih jelas. Contohnya dalam pembelajaran KOMSAS, saya tayangkan rakaman drama, selepas pembelajaran saya dapati murid-murid saya dapat memahami unsur-unsur plot, struktur plot dan dapat menilai perwatakan serta nilai-nilai murni dari drama yang dipelajari.
Saya juga menggunakan Microsoft Excel untuk merekod serta menggred markah setiap kali diadakan ujian dan peperiksaan. Markah ini dianalisis untuk melihat aspek kelemahan dan kekuatan pelajar. Aplikasi ini membolehkan saya membuat head count untuk setiap orang murid yang saya ajar. Hasil daripada analisis yang saya perolehi membolehkan saya menyediakan bahan atau soalan dengan memberikan perisian berbentuk latih tubi kepada pelajar yang lemah untuk tujuan pemulihan, memberikan perisian yang berbentuk tutorial kepada pelajar yang sederhana untuk tujuan pengukuhan dan memberikan perisian berbentuk exploratory kepada pelajar pintar untuk tujuan pengayaan.
Pengajaran yang saya sampaikan lebih berkesan melalui media elektronik kerana pelajar dapat melihat sendiri apa yang diterangkan oleh saya dengan bantuan komputer. Kaedah ini membolehkan murid memahami dan menghayati situasi pembelajaran yang sebenar. Dalam pengajaran Bahasa Melayu penekanan diberikan untuk menguasai empat kemahiran iaitu membaca, memahami, menulis, dan bertutur. Bagi mengajar kemahiran bertutur, murid-murid mesti mempunyai idea dan pengetahuan yang luas. Bagi pelajar yang kurang membaca, masalah akan timbul kerana mereka tiada idea untuk bercakap. Dengan kemudahan ICT yang saya miliki, saya muat turun maklumat, gambar dan rakaman video dari internet. Saya juga menggunakan perisian Microsoft Powerpoint dengan bantuan kamera digital masukkan gambar-gambar dan saya tayangkan kepada murid-murid menerusi projektor LCD. Murid-murid saya mendapat idea dan pengetahuan untuk bertutur dan menceritakan apa yang disaksinya dari awal hingga akhir dengan penuh keyakinan , ini menunjukkan proses pembelajaran yang berkesan telah berlaku.
Penggunaan papan interaktif semasa mengajar membolehkan saya membuat pembetulan setiap kesalahan yang murid serta-merta. Murid membuat tugasan menggunakan papan interaktif, hasil tugasan mereka dipancarkan menerusi projektor LCD. Saya membuat penilaian terhadap hasil tugasan mereka dan membetulkan kesalahan mereka pada masa itu juga. Murid dapat mengetahui di mana kekuatan dan kelemahan tugasan mereka. Hal ini dapat meningkatkan pemahaman murid, dalam masa yang sama saya dapat membetulkan kesalahan yang dilakukan serta merta.
Jelaslah di sini, dengan menggunakan ICT telah dapat meningkatkan pemahaman dan penguasaan murid-murid saya terhadap mata pelajaran yang saya diajar. Proses pengajaran dan pengajaran menjadi lebih mudah dan lebih menarik. Hasilnya murid dapat menghasilkan tugasan yang sempurna. Hal ini dapat membantu memudah dan mempercepatkan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah kerana penggunaan ICT dalam P & P telah memudahkan tugas guru dan murid menguasai pengajaran dan pembelajaran.

3.5.3 Membentuk Jaringan Komunikasi Yang Efektif, Cepat Dan Mudah

Melalui ICT pelbagai bentuk maklumat dapat disampaikan dengan berkesan dan menarik. Penggunaan grafik, ilustrasi, dan apa bentuk gambar rajah yang digunakan dapat meningkatkan keberkesanan dalam pembelajaran. Tambahan pula penggunaan pelbagai media seperti audio, video dan animasi yang dinamik dapat meyampaikan maklumat dengan lebih efektif lagi bila diadunkan dengan teks dan grafik.
Penggunaan ICT sebagai alat komunikasi merupakan serampang dua mata dalam perkongsian maklumat dan komunikasi. ICT membolehkan murid dan guru daripada lokasi yang berbeza menghantar, menerima dan berkongsi maklumat dalam pelbagai bentuk elemen multimedia. Hal ini akan mewujudkan hubungan kerja berpasukan dalam kalangan murid di samping memantapkan kemahiran berkomunikasi. Penilaian boleh dijalankan oleh guru secara individu dan kumpulan, perbincangan akan dibuat selepas hasil tugasan dibentangkan di dalam kelas. Hal ini akan menggalakkan percambahan pemikiran dan memantapkan kemahiran berfikir serta komunikasi murid-murid.
Interaksi saya dan murid dapat dipertingkatkan melalui ICT di mana saya dan murid berhubung terus melalui internet, e-mail atau berkunjung ke laman blog. Melalui internet murid dapat berhubung dengan sesiapa sahaja walau di mana berada kerana kadar caj yang dikenakan jauh lebih rendah dalam masa yang pantas teknologi. Teknologi multimedia membolehkan saya melihat wajah murid yang menghubungi saya pada paparan skrin komputer. Murid saya dapat berbual secara terus dengan saya menerusi skrin komputer. Murid-murid saya akan merujuk kepada saya apabila ada masalah yang berkaitan dengan pembelajaran dan pada masa mereka memerlukan nota dan bahan rujukan. Interaksi dan komunikasi sebegini juga memudahkan saya untuk memantau hasil kerja murid apabila mereka menge-melkan kepada saya. Murid-murid oleh bertanya secara terus dan saya pula akan menjawab dengan cepat
Jelaslah di sini melalui ICT jalinan komunikasi yang mantap dapat dilakukan secara berkesan. Guru dapat membantu meningkatkan jalinan komunikasi antara guru dengan murid dan murid sesama murid. Murid dapat berkomunikasi dengan ramai orang di seluruh dunia hanya menerusi skrin komputer menggunakan hujung jari sahaja. Ini menggambarkan kemahiran ICT yang saya miliki telah dapat menumbuhkan inspirasi kepada murid-murid saya dan dapat meningkatkan komunikasi yang efektif, cepat dan mudah.

3.5.4 Pengekalan informasi yang berkesan
Multimedia digunakan sebagai perantara dalam sesebuah penyampaian atau pesembahan maklumat kepada para pelajar. Ia digunakan oleh individu yang mahukan kemudahan serta impak yang berkesan dalam persembahan maklumat mereka dengan sesebuah komputer peribadi yang lengkap dengan elemen multimedia dapat memberikan kesan bunyi, paparan grafik yang berwarna warni, animasi serta video. Set komputer yang dilengkapkan dengan multimedia telah diadaptasikan untuk memberi maklumat-maklumat tambahan dalam bentuk yang menarik kepada pengguna.
Terdapat fakta telah membuktikan bahawa orang ramai telah menggunakan 75 peratus keupayaan untuk mengingat berdasarkan kepada apa yang mereka dengar, lihat dan lakukan, 40 peratus daripada apa yang mereka lihat serta dengar manakala 20 peratus daripada apa yang mereka dengar sahaja. Oleh sebab itu, ciri interaktif dalam persembahan multimedia merupakan komponen penting yang tidak seharusnya diabaikan kerana ia boleh menyokong keupayaan ingatan manusia Itu sendiri. Memandangkan keupayaan multimedia banyak memberi kesan yang positif terhadap proses penyampaian maklumat, maka saya tidak teragak-agak menggunakan ICT untuk membantu meningkatkan keberkesanan pengurusan P&P dalam bilik darjah.
Saya menggunakan perisian Autoware untuk menyediakan set-set soalan pelbagai aras secara interaktif. Soalan-soalan yang melibatkan konsep dan isi pelajaran itu saya sediakan jawapan yang membolehkan murid-murid saya membuat penilaian secara sendiri. Bila murid dapat menjawab soalan dengan betul mereka akan berasa seronok dan ingin mencuba lagi. Cara ini membolehkan murid saya merasai pengalaman pembelajaran yang berbeza berdasarkan prestasinya di dalam sesuatu konsep atau isi pelajaran. Sebelum itu saya pastikan murid saya telah menguasai terlebih dahulu konsep atau isi pelajaran yang saya ajar sebelum saya benarkan mempelajari konsep atau isi pelajaran pada tahap yang lebih tinggi. Murid-murid saya boleh mengulang belajar sesuatu konsep atau isi pelajaran itu pada bila-bila masa atau seberapa banyak yang dia mahu. Ditambah pula dengan penggunaan multimedia yang menarik menyebabkan murid tidak merasa bosan untuk mengulangi mempelajarinya. Keadah ini telah memperkuatkan lagi ingatan dan meningkatkan pemahaman serta minat pelajar terhadap apa yang dipelajari.
Saya melayari laman-laman web yang berkaitan subjek yang saya ajar, kemudian maklumat tersebut saya simpan dalam CD-ROM seperti ensaikopedia, pangkalan data dan lain-lain maklumat yang boleh diperolehi di pasaran. Bahan-bahan ini saya gunakan dalam bilik darjah dan pelajar boleh tayangkannya berulang kali. Hal ini dapat meningkatkan pemahaman murid saya terhadap apa yang saya sampaikan. Buktinya apabila saya meminta pelajar menyediakan penulisan karangan, saya dapati idea yang dikemukakan adalah menggambarkan kematangan dan penguasaan pengetahuan pada tahap yang membanggakan. Ini menggambarkan ICT dapat meningkatkan pemahaman dan menguatkan ingatan murid-murid terhadap isi pelajaran
Komputer menyediakan satu suasana yang seakan-akan serupa dengan keadaan yang sebenar di mana murid dibenarkan untuk berinteraksi dengan cara yang realistik. Cara ini memberi peluang kepada murid saya untuk mengubah sesuatu untuk melihat pembaharuan. Situasi begini membenarkan murid saya menguji dan mengemukakan idea baru yang terbaik dan seterusnya membuat kesimpulan. Perisian pendidikan seperti ini menggalakkan murid saya telah dapat meningkatkan kemahiran, mengekalkan maklumat yang diperolehi, serta memberi peluang kepada murid-murid saya melakukan penyelesaian masalah.
Tegasnya saya nyatakan di sini bahawa, ICT telah dapat membantu meningkatkan pemahaman dan mengekalkan maklumat murid yang diperolehi melalui kaedah ulangan dan penerokaan.Teknologi maklumat telah memudahkan tugasan guru dan murid serta dapat membantu murid-murid mempertingkatkan daya ingatan. Apa yang didengar, dilihat dan dialami oleh murid lebih lama kekal dalam memori ditambah dengan penggunaan teknologi yang menarik dan interaktif.

3.5.5 Menghasilkan Kerja Yang Berkualiti, Lengkap Dan Mantap

ICT dikatakan sebagai alat aplikasi apabila membantu pelajar melaksanakan tugasan pembelajaran, di samping sebagai mekanisma penyaluran maklumat pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan perisian aplikasi umum seperti pemerosesan perkataan oleh pelajar dalam penghasilan karangan atau penggunaan perisian hamparan elektronik akan menghasilkan plot graf. Pelbagai perisian aplikasi yang boleh dimanfaatkan dalam melaksanakan tugasan pembelajaran seperti Microsoft Word, Microsoft Excell, Microsoft Access, Microsoft Power Point, Paintshop, dan sebagainya.
Pelajar boleh memilih mana-mana perisian yang sesuai dengan kehendak dan kemampuan mereka. Penggunaan perisian aplikasi ini dapat membantu pelajar melaksanakan aktiviti pembelajaran. Perisian aplikasi Microsoft Excell yang sesuai boleh digunakan untuk membantu murid membina graf-graf yang diperlukan. Manakala perisian Microsoft Powerpoint membolehkan murid membuat pembentangan hasil tugasan yang saya berikan sama ada secara kumpulan atau individu.
Dalam pelajaran bahasa Melayu saya berikan tugasan kumpulan untuk membuat kupasan teks Komponan Sastera (KOMSAS). Saya bimbing murid-murid saya untuk mendapatkan isi pelajaran, saya galakkan murid saya menggunakan perisian Microsoft Powerpoint dan juga Photo Story atau memilih mana-mana perisian yang sesuai dengan kehendak dan kemampuan mereka untuk menghasilkan tugasan. Penggunaan perisian aplikasi ini dapat membantu murid-murid melaksanakan aktiviti pembelajaran dan menyiapkan tugasan yang saya berikan. Contohnya dalam pembelajaran KOMSAS murid-murid diberikan tugasan kumpulan. Hasil kerja kumpulan dibentang oleh murid dengan aplikasi Microsoft Powerpoint. Hasilnya saya dapati murid-murid saya lebih bersemangat serta dapat menghasilkan satu kerjasama yang padu dalam kumpulan di samping menghasilkan satu persembahan yang amat menarik yang menggambarkan mereka betul-betul faham dengan apa yang dipelajari pada sepanjang proses P & P berlaku itu.
Menggunakan komputer semasa mengajar dan belajar dapat meningkatkan semangat atau motivasi pelajar untuk terus belajar dan mencuba sesuatu yang baru dalam hidup mereka. Aplikasi multimedia yang melibatkan pelbagai jenis media yang menarik dan dinamik dapat meningkatkan minat seseorang pelajar terhadap bahan pembelajaran yang disediakan. Selain itu penggunaan ICT dan multimedia daapt mewujudkan persekitaran pembelajaran yang merangsang pelajar untuk terus belajar.
Apa yang penting sebagai guru, saya mestilah terus belajar dan memahirkan diri dengan pelbagai kemahiran ICT supaya menjadi lebih inovatif, efektif dan berinformasi dalam mendidik anak bangsa. Kelainan dalam paparan maklumat dapat membangkitkan minat dan motivasi murid untuk terus mendalami ilmu pengetahuan atau maklumat yang tentang mata pelajaran yang diminati. Apabila minat dan motivasi pelajar sudah dirangsang, proses pembelajaran seterusnya lebih mudah dilaksanakan. P & P menggunakan ICT dan multimedia dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan mencabar.
Saya juga mendapati penggunaan ICT membolehkan murid-murid menghasilkan segala penciptaan dan menyelesaikan kerja yang rumit. Melalui penggunaan ICT murid dapat menguasai pelbagai kemahiran manipulatif seperti kemahiran pemprosesan perkataan, pangkalan data dan pembentangan dengan menggunakan alat-alat teknologi. Kemahiran dan penguasaan dalam teknologi akan melahirkan murid yang lebih bersedia dan yakin untuk memasuki alam pekerjaan.Kaedah pembelajaran begini amat menarik dan hasil dari pemerhatian dan penilaian saya terhadap mutu tugasan, saya dapati murid-murid saya telah berjaya menghasilkan tugasan yang berkualiti, lengkap dan mantap.

4.0 Penutup
Penggunaan ICT dalam pendidikan selaras dengan hasrat Malaysia untuk meningkatkan kualiti pendidikan bertaraf dunia. Pembangunan pendidikan pada abad ke-21 di negara kita menjadi lebih kompetitif di mana Malaysia perlu melangkah ke hadapan bagi mengantarabangsakan kualiti pendidikan. ICT menjadi pemangkin kepada perkembangan pendidikan bertaraf dunia yang menjadi impian Malaysia.
Guru bukan sahaja merupakan sumber inspirasi kepada murid-murid, malah guru-guru menjadi pendorong kepada kejayaan dan kemajuan murid. Teknologi perlu dilihat sebagai satu alat dan bukan segala-galanya yang boleh mengambil peranan penting seseorang guru. Guru diperlukan untuk mencorakkan perkembangan pelajar kerana tugas ini tidak boleh dilakukan oleh teknologi walau secanggih mana sekalipun teknologi boleh mencorakkan pembelajaran.
Pembelajaran memerlukan hubungan manusia dengan manusia dan sentuhan guru terhadap murid. Peranan guru yang berterusan sebagai seorang pakar untuk membimbing, mendorong, membina keyakinan, menunjuk ajar, menangani masalah pembelajaran, mengembang kemahiran diri, dan sebagainya tidak ambil alih oleh teknologi.dalam menangani arus ledakan teknologi ini guru harus mempertingkatkan kecekapan dalam pengurusan pendidikan, meluaskan peranan guru dalam membantu dan membimbing murid-murid serta membantu guru meningkatkan usaha bagi meningkatkan kualiti pendidikan yang diberi kepada murid-murid seterusnya berjaya membangunkan modal insan cemerlang, gemilang dan terbilang. Konsep pembelajaran sepanjang hayat menjadikan ICT sebagai medium paling berkesan ke arah merealisasaikan impian tersebut. Apa lagi dalam usaha kerajaan untuk mengangkasakan pendidikan di Malaysia dalam usaha melahirkan bangsa Malaysia glokal berminda kelas pertama dalam menyahut Sembilan Cabaran Wawasan 2020.


Bibliografi
1. Profesionalisme Keguruan Prospek Dan Cabaran, Abdul Rahim bin Abdul Rashid, DBP KL.2005
2. Kamus Dewan Edisi Ke-4,DBP KL, 2007
3. Rancangan Malaysia Ke – 9 Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, 2006 – 2010 Edisi pelancaran.KPM, 2006
4. Multimedia Konsep dan Praktis, Jamalludin bin Harun, Zaidatun bt.Tahir, Venton Publishing, Jun 2005
5. ICT dari Perspektif Profesional Isu-isu Pengurusan Organisasi, Penyelenggara Abdul Manaf Bohari, Pearson Prentice Hall, PJ, 2006
6. Siri Perspektif Minda Sekolah Bestari dan ICT, Razak Ibrahim, Wan Norazlin Yusuf,Cemerlang Publica tions Sdn. Bhd.Seri Kembangan, 2005
7. Multimedia Dalam Pendidikan, Jamalludin Harun, Dr. Zaidatun Tasir, PTS Publication & Distributors Sdn Bhd. KL,2003
8. Bahan Bacaan Kursus Penilaian Tahap Kecekapan, Institut Aminudin Baki, Genting Highland, 2004

Monday, January 4, 2010

apa salahnya berbudi bahasa

keindahan alam semulajadi Malaysia amat menarik. banyak tempat yang boleh dilawati.Sepanjang cuti persekolahan yang lalu, saya berkesempatan berkunjung ke Pulau Mutiara. Ternyata Malaysia sebuah negara yang indah dan menarik,ukan sahaja kawasan pantainy menarik malah, kawasan berbukitnya ada keistimewaan yang tersendiri. Kesempatan ini saya gunakan untuk menikmati keindahan dii kawasan Bukit Bendera selepas lebih lima tahun saya tidak ke sana. Tapi .. amat mengecewakan!, saya tidak berpeluang untuk menikmati keindahan di kawasan bukit Bendera kerana kehabisan tiket kreta api bukit. Ternyata pada musim cuti sekolah ramai pengunjung ke sana.

Apa yang paling menyedihkan saya, adalah berhubung sikap pengunjung yang angkuh dan biadab, setta tidak ada rasa belas kasihan kepada warga emas dan kanak-kanak. Senario ini boleh mencemarkan imej Malaysia sebagai pusat pelancongan tambahan pula , selama ini Malaysia terkenal dengan rakyatnya yang berbudi bahasa dn bersopan santun. Kesantunan hilang lantaran manusia dikuasai emosi yang menghilangkan kewarasan akal.

Apalah salahnya kita beradab, tidak rugi kalau bersopan lebih-lebih lagi bila berdepan dengan situasi panas dan sesak. Budi bahasa amalan kita. BERSOPAN SANTUNLAH, TAK RUGI!!!.......